Anggota APM Taiping turut membuat pemantauan dan menyelamat mangsa banjir berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Foto Facebook APM Taiping
AGENDANASIONAL

153 mangsa banjir Taiping masih berada di pusat pemindahan

IPOH, 6 NOV: Seramai 153 mangsa banjir daripada 50 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat malam tadi.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata daripada jumlah itu, 90 mangsa berada di PPS Masjid Al-Wusta, 55 orang di Sekolah Kebangsaan Matang Gelugur dan lapan lagi di Surau Kampung Perak.

“Paras air Sungai Ijok melebihi paras normal namun berada di bawah paras waspada,” menurutnya dalam kenyataan.

Katanya mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila banjir surut dan pemantauan mendapati keadaan adalah selamat.

Hujan lebat petang semalam menyebabkan beberapa kampung di sekitar Taiping terjejas dan ratusan penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS.

– BERNAMA


Pengarang :