Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sijangkang di Taman Seri Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 30 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

300 papan telur habis dalam dua jam, jualan murah di Sijangkang dapat sambutan

KUALA LANGAT, 30 NOV: Bekalan telur, ayam, ikan, daging dan beras habis terjual dalam tempoh dua jam pada Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang hari ini.

Pegawai Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Afnan Hayyan Muhammad berkata orang ramai sanggup beratur sejam awal untuk membeli barangan dalam jualan murah di Taman Perwira Sijangkang, di sini.

“Biarpun jualan murah bermula jam 10 pagi tetapi orang ramai sanggup menunggu dan beratur seawal 9 pagi.

“Mereka tidak kisah menunggu bagi mendapatkan barangan di jualan murah yang hanya datang ke lokasi mereka dua atau tiga kali seminggu,” katanya ditemui Selangorkini.

Petugas menyiapkan barangan untuk dijual kepada orang ramai sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sijangkang di Taman Seri Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 30 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Afnan menjelaskan pihaknya membawa 300 papan telur manakala ikan, daging dan beras masing-masing 300 unit yang kesemuanya habis terjual pada 12 tengah hari

Jualan murah berkenaan menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek).

Dikendalikan PKPS, jualan murah yang mencatat jualan melebihi RM10 juta sejak September hingga awal bulan turut menawarkan minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan yang dijadual sehingga Mac tahun depan.


Pengarang :