Orang ramai beratur untuk membeli barangan keperluan asas yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sementa, Klang pada 23 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

300 papan telur habis dalam sejam, jualan murah di Sementa dapat sambutan

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KLANG, 23 NOV: 300 papan telur ayam habis terjual dalam masa sejam ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Al Islah, Kampung Sementa di sini hari ini.

Penolong Pengurus Kanan Permata Ehsan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Nur Amirah Mahdan berkata selain telur, bekalan 500 ayam standard yang dijual RM10 seekor turut mendapat sambutan.

“Telur dan ayam kita hadkan masing-masing satu papan dan seekor kepada setiap pembeli bagi memastikan ia adil kepada semua. Jika mereka mahu lebih perlu beratur dan ambil giliran sekali lagi.

“Kita buka jualan pada jam 9.45 pagi walaupun sepatutnya bermula jam 10 pagi kerana ramai yang sudah beratur. Jadi telur antara yang paling laris, dalam sejam kesemua 300 papan terjual,” katanya ketika ditemui hari ini.

Penolong Pengurus Kanan Permata Ehsan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Nur Amirah Mahdan menyediakan membungkus ayah segar di program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sementa, Klang pada 23 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Dalam program berkenaan, PKPS turut membawa 300 pek daging pejal segar (RM10 per pek), 150 botol minyak masak 5 kg (RM25), 300 kampit beras 5kg (RM10) dan 300 pek ikan kembung (RM6 per pek).

Program anjuran PKPS yang dilanjutkan sehingga Mac tahun depan menawarkan jualan harga barangan makanan pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :