Keadaan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Dewan Komuniti Dengkil pada 17 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

48 mangsa banjir Selangor pulang, 216 masih di pusat pemindahan Perak

SHAH ALAM, 29 NOV: Seramai 48 mangsa banjir di Selangor pulang ke rumah masing-masing selepas pusat pemindahan sementara menempatkan mereka ditutup kira-kira 4 petang tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook memaklumkan hanya dua PPS masih beroperasi iaitu di Perak melibatkan 216 mangsa daripada 63 keluarga.

“Keadaan di Perak menunjukan penurunan daripada tiga kepada dua daerah yang masih terkesan akibat banjir dengan jumlah mangsa sebelum itu 233 orang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (Waspada) melibatkan negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung pada 1 hingga 3 Disember dan Sabah pada 1 Disember.

Agensi itu akan melaksanakan pengujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) pada esok di Balai Polis Pelabuhan Klang, Selangor pada 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Terdahulu, empat daerah di dua negeri itu masih terkesan banjir dengan 270 mangsa daripada 81 keluarga berlindung di PPS setakat 8 pagi tadi.


Pengarang :