Sekumpulan ahli akademik yang menggelarkan diri mereka G70 menunjukkan Deklarasi Profesor Melayu (G70) di Hotel Armada, Petaling Jaya pada 16 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

70 profesor Melayu sokong HARAPAN, pilih Anwar calon PM

SHAH ALAM, 16 NOV: Sekumpulan 70 orang ahli akademik yang menggelarkan diri mereka G70 mendukung Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai pilihan terbaik pengundi untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi.

Mengumumkan dalam kenyataan Deklarasi Profesor Melayu, kumpulan tersebut turut memilih Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

“Kami berpendirian bahawa Anwar adalah satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk dengan berteraskan Islam sebagai agama persekutuan, serta memulihkan reputasi negara di mata dunia,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

“HARAPAN … merupakan pilihan terbaik untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi masa kini kepada kesejahteraan rakyat pada masa hadapan, dan dalam masa yang sama menjamin keutuhan agama Islam serta kepentingan Melayu dan peribumi.”

Profesor Dato’ Dr. Ir. Wan Ramli Wan Daud (dua, kiri) bercakap kepada media ketika sidang media Deklarasi Profesor Melayu (G70) di Hotel Armada, Petaling Jaya pada 16 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Deklarasi yang dibacakan Profesor Datuk Dr Ir Wan Ramli Wan Daud turut menyeru pengundi menolak calon yang mengkhianati amanah dan menyalahgunakan kedudukan politik untuk kepentingan peribadi serta parti.

Menurut kumpulan itu, pilihan raya umum ke-15 medan terbaik untuk rakyat memilih bagi memastikan negara memiliki kerajaan telus, amanah dan bertanggungjawab terhadap masa depan rakyat.

“Rakyat Malaysia diseru menolak calon yang menggunakan fitnah, memainkan sentimen agama dan kaum termasuk melaga-lagakan rakyat berbilang bangsa dan budaya demi meraih undi.

“Sebaliknya mereka harus memilih kerajaan yang mampu kembalikan maruah negara, bina semula keyakinan pelabur, kukuhkan kedudukan mata wang sekali gus membina semula penghormatan dunia terhadap negara,” katanya.


Pengarang :