Suasana di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Binjai Meru, Klang ketika tinjauan berkenaan bencana banjir di sekitar Klang pada 11 November 2022. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

903 mangsa banjir Selangor berada di pusat pemindahan

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 12 NOV: Seramai 903 mangsa daripada 217 keluarga yang terjejas akibat banjir di Selangor ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Facebook memaklumkan daerah terlibat ialah Klang dan Kuala Selangor membabitkan lapan kawasan keseluruhannya.

Menurut agensi itu, penduduk di Meru, Klang antara mangsa tertinggi ditempatkan di PPS Sekolah Kebagsaan (SK) Sungai Binjai membabitkan 643 mangsa daripada 152 keluarga.

Pusat pemindahan lain yang dibuka di daerah itu ialah Masjid Al-Falah Kampung Budiman, SK Johan Setia dan Sekolah Rendah Agama Pekan Meru.

Bagi Kuala Selangor, PPS yang dibuka iaitu Dewan MBKS Seri Harmoni, Ijok, Dewan Orang Ramai Kampung Raja Musa, SK Sungai Sireh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram.

Dalam pada itu, paras air Sungai Selangor di Kuala Selangor setinggi 7.8 meter dan Sungai Bernam (2.3 meter) yang berada pada tahap bahaya masih menunjukkan trend meningkat.

Paras air Sungai Binjai di Meru kekal pada tahap bahaya 4.2 meter, namun menunjukkan trend menurun.

Empat sungai di Selangor yang berada pada tahap amaran pula ialah Sungai Bernam di Hulu Selangor, Sungai Langat (Bukit Changgang), Sungai Manggis dan Sungai Buloh di Parit Mahang.


Pengarang :