Jalan Mahkamah Pekan Teluk Intan, Perak dinaiki air ketika pemantauan dilakukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada 24 November 2022. Foto Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Hilir Perak
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

955 mangsa bah di tiga negeri, jumlah di Selangor kekal

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 24 NOV: Tujuh daerah di tiga negeri masih terkesan banjir dengan 955 mangsa daripada 283 keluarga berada di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerusi Facebook memaklumkan kejadian banjir itu melibatkan empat daerah di Perak, dua di Selangor dan satu di Johor.

“Di Perak jumlah mangsa sedikit menurun berbanding semalam dengan 603 orang daripada 617 malam tadi.

“Mangsa dua negeri lagi tiada perubahan pagi ini berbanding semalam iaitu 317 orang di Selangor dan 35 orang (Johor),” katanya.

Terdahulu, pekan Kuala Kedah dilanda air pasang besar jam 12.40 tengah malam tadi menyebabkan air laut mencecah 2.95 meter (m) dan beberapa kawasan dinaiki air.

Antara kawasan itu adalah Terminal Feri Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina dan Pekan Kuala Kedah.

Bagaimanapun, tiada rumah dan premis perniagaan yang terjejas dan keadaan terkawal serta tidak menjejaskan aktiviti setempat.


Pengarang :