Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli ditemu bual Media Selangor di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 30 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN: Belanjawan 2023 cakna kebajikan kanak-kanak, ibu tunggal

SHAH ALAM, 27 NOV : Belanjawan Selangor 2023 memperkenal banyak inisiatif untuk keluarga termasuk kanak-kanak dan ibu tunggal, maklum ahli dewan negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata demi memastikan ibu tunggal tidak terpinggir, Selangor memperuntuk RM336,000 bagi insentif pembangunan golongan itu dan kuota khas pembelian perumahan mampu milik Rumah Selangorku.

“Manakala, bagi kanak-kanak pula sebanyak RM4 juta dibelanja kepada Yayasan Insan Istimewa Selangor (Yanis), Kad Iltizam Anak Selangor (Kad AnIS) dan bantuan khas anak istimewa Selangor (Bantuan Khas AnIS).

“Ini jelas membuktikan komitmen negeri untuk terus membangun potensi serta menyediakan sistem sokongan kepada setiap anak-anak istimewa di Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Juwairiya turut menyokong inisiatif Kerajaan Negeri cakna berhubung kemiskinan haid dengan memperuntuk RM200,000 bagi kempen kebersihan menstruasi.

“Ketiadaan akses asas seperti tuala wanita banyak menjejaskan komuniti marginal dan kanak-kanak perempuan. Malahan, menangani kemiskinan haid ini juga dapat mengatasi isu keciciran pelajar di sekolah.

“Secara keseluruhan, saya melihat Belanjawan  Selangor 2023 merupakan belanjawan yang mesra rakyat dan keluarga meski negara berdepan cabaran krisis kesihatan dunia,” katanya.

Jumaat lepas, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2023 dengan memperuntuk RM2.45 bilion sebagai persediaan mendepani kelembapan ekonomi tahun depan.


Pengarang :