Seramai 60 ibu tunggal B40 mengikuti Program Nur Pekawanis pada 7 Ogos 2022. Foto Facebook Pekawanis
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN: Belanjawan 2023 prihatin terhadap wanita, ibu tunggal

SHAH ALAM, 27 NOV: Ahli dewan negeri Permatang memuji Belanjawan Selangor 2023 yang sentiasa prihatin terhadap golongan wanita termasuk ibu tunggal.

Rozana Zainal Abidin berkata beliau tertarik dengan pelaksanaan program Insentif Digital Media Usahanita Muda yang boleh membantu golongan berkenaan meneroka bidang perniagaan.

“Saya harap ramai wanita ambil peluang ini dan mendalami bidang digital media seiring dengan hasrat kerajaan menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

ADN Permatang Rozana Zainal Abidin

“Malah, geran padanan bagi pemberdayaan wanita melalui program Halal Suri juga amat membantu mereka menambah pendapatan sekali gus meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Rozana berkata inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan insentif kuota khas pemilikan rumah mampu milik seperti Rumah Selangorku kepada ibu tunggal untuk memiliki kediaman sendiri juga disifatkan terbaik.

“Ini bukti Kerajaan Selangor mahu memastikan semua ibu tunggal yang layak ada tempat kediaman selesa di masa hadapan dan tidak dipinggirkan,” katanya lagi.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2023 bertemakan #KitaSelangor: Melonjak Kemajuan, Mengerat Perpaduan, Menjayakan Harapan.

Menerusi belanjawan itu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.45 bilion dalam Belanjawan 2023 sebagai persediaan mendepani kelembapan ekonomi tahun depan.


Pengarang :