Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bertemu pengamal media yang membuat liputan perkembangan pelantikan perdana menteri di hadapan pintu Istana Negara pada 22 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Agong titah 30 ahli parlimen BN secara individu menghadap pagi esok

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap Seri Paduka di Istana Negara secara individu pada jam 10.30 pagi esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata ia lanjutan daripada sesi menghadap baginda oleh ketua gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Perikatan Nasional (PN) di Istana Negara, hari ini.

Beliau berkata proses itu adalah bertujuan supaya Al-Sultan Abdullah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Seri Paduka turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

Terdahulu, Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara setelah tiada Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lalu,  menyaksikan HARAPAN memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti PN (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

— BERNAMA

 


Pengarang :