Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Ampang Rodziah Ismail bersalaman bersama penyokong yang berhimpun di hadapan pusat penamaan calon di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang pada 5 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ahli akademik: Tiga penggal jadi ADN, Rodziah ada potensi ‘rampas’ kerusi Ampang

OLEH SHAMZ JOHAN

AMPANG, 7 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Ampang berpotensi memenangi kerusi ditandingi berdasarkan pengalaman luas sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) di Selangor.

Seorang ahli akademik di universiti Amerika Syarikat turut menyifatkan Rodziah Ismail sebagai pemimpin yang fokus dan memiliki banyak idea menarik sepanjang tiga penggal berkhidmat di negeri itu.

Meskipun bakal berdepan Datuk Zuraida Kamaruddin, penyandang tiga penggal kerusi itu, Profesor Meredith Weiss yakin Rodziah mampu memberi saingan hebat berdasarkan sokongan diterima.

“Bukan kerana Zuraida tidak popular tetapi kerana dia melompat (parti). Rodziah pula bermula dari bawah dan ia cukup menarik apabila menyaksikan sokongan diterima daripada penyokong masing-masing.

“Saya rasa dia (Rodziah) mampu, begitu juga (calon) yang lain. Mereka yang berpengalaman luas sebagai ahli politik, mempunyai idea dan polisi menarik akan membantu parti nampak lebih berbeza,” katanya ditemui semasa penamaan calon kelmarin.

Beliau yang pernah menjalankan kajian sains politik bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menambah calon wakil rakyat perlu tahu menggubal polisi selain kerap turun padang.

Meredith sebelum ini pernah menulis buku Aktivisme Mahasiswa Malaysia, yang menjejaki kebangkitan dan kesuraman politik mahasiswa berdasarkan temu bual dengan aktivis, penerbitan kampus dan media lain.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Ampang Rodziah Ismail (kiri) beramah mesra dengan peniaga di pasar malam Taman Tasik Tambahan ketika berkempen sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 6 November 2022. Foto Facebook Rodziah Ismail

Rodziah yang juga EXCO perumahan negeri akan mencabar Zuraida, yang mempertahankan kerusi disandang mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida memegang kerusi itu selama tiga penggal atas tiket Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tetapi meninggalkan parti tersebut pada Februari 2020.

Turut bertanding Ketua Beliawanis MCA Ivone Low Yi Wen mewakili Barisan Nasional, Sasha Lyna Abdul Latif (Perikatan Nasional), Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon Bebas.


Pengarang :