Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Ampang Rodziah Ismail diiringi penyanyi Altimet beramah mesra bersama peniaga ketika berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pasar Malam Taman Industri Lembah Jaya, Ampang Jaya pada 7 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Altimet, Hans bantu kempen Rodziah di Ampang, terima sambutan baik

AMPANG, 10 NOV: Penyanyi rap, Altimet dan pelakon Hans Isaac giat berkempen di Parlimen Ampang bagi memastikan Pakatan Harapan (HARAPAN) merampas semula kubu kuat mereka dalam pilihan raya umum kali ini.

Calon HARAPAN Rodziah Ismail terharu dengan kesungguhan kedua-dua selebriti itu turun ke serata kawasan meraih sokongan pengundi terutamanya golongan muda.

“Saya bersyukur di Ampang kita ada figura yang boleh dimanfaatkan seperti Altimet, Hans Isaac dan beberapa lagi yang saya rasa cukup dikenali di sini.

“Saya rasa tidak perlu tunggu saya seorang (berkempen), tetapi mereka juga boleh (bantu) membawa aspirasi saya di Ampang,” katanya ditemui selepas menyantuni pengundi Ampang Campuran dekat sini, semalam.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet berucap ketika membantu calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Ampang Rodziah Ismail berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Tasik Tambahan, Ampang Jaya pada 7 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Rodziah tidak menyangka sokongan diterima daripada pengundi di situ sangat baik sepanjang lima hari berkempen dan mengakui rata-rata pengundi mengenali beliau sebagai calon HARAPAN.

“Saya nampak penduduk Ampang faham tentang parti (bertanding) yang ada. Kadang-kadang saya belum turun padang lagi orang sudah tahu saya (calon) daripada HARAPAN.

“Kalau kita sebut Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), memang mereka lebih memahaminya,” katanya lagi.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN ), Parlimen Ampang Rodziah Ismail beramah mesra bersama pengunjung pasar malam Taman Dagang ketika berkempen pada 9 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

EXCO perumahan negeri yang juga calon nombor satu dalam kertas undi berdepan Datuk Zuraida Kamaruddin, yang mempertahankan kerusi disandang mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida, bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi memegang kerusi itu selama tiga penggal atas tiket Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tetapi meninggalkan parti itu pada Februari 2020.


Pengarang :