Penyanyi rap Altimet ditemu bual Media Selangor di pekarangan Masjid Bukit Antarabangsa, Ampang Jaya pada 11 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Altimet manfaat status anak seni bantu kempen calon HARAPAN Ampang

AMPANG, 12 NOV: Kelebihan sebagai selebriti dimanfaatkan Altimet untuk mendekati pengundi Parlimen Ampang supaya memilih pemimpin yang boleh membawa perubahan dan menstabilkan negara.

Pemilik nama Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 43, percaya status anak seni mampu mempengaruhi rakyat memilih Pakatan Harapan (HARAPAN) berikutan gabungan itu mempunyai hala tuju jelas.

“Tidak dinafikan penghibur, pelawak, pelakon dan penyanyi ada pengaruh tersendiri. Alhamdulillah saya rasa pengaruh itu satu rezeki buat saya yang perlu digunakan sebaiknya.

“Kita boleh minta orang buat baik, berhenti buat jahat dan paling penting prihatin arah tuju negara untuk bersama-sama menyumbang ke arah demokrasi negara,” kata penyanyi rap tersohor itu.

Beliau yang ditemui di Masjid Bukit Antarabangsa semalam memaklumkan kempen pilihan raya bagi memenangkan calon HARAPAN Rodziah Ismail di Parlimen Ampang lancar dan dalam fasa pecutan.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Ampang itu juga yakin Rodziah berpeluang mendapat mandat rakyat berdasarkan prestasi cemerlang sebagai EXCO negeri dan wakil rakyat Batu Tiga.

“Pada hari pertama dan kedua, kita ‘warm up’ (panaskan badan) dulu. Tidak boleh pecut terus, tetapi sekarang momentum sudah ada dan jentera parti sangat sibuk.

“Insya-Allah, kita nampak peluang beliau (Rodziah untuk menang) dan berupaya berkhidmat untuk Ampang,” kata pelantun lagu Amboi itu.


Pengarang :