Calon Pakatan Harapan Parlimen Ampang Rodziah Ismail bersama ribuan penduduk menyalakan lampu di telefon bimbit ketika ceramah umum sempena Jelajah Harapan di Bandar Baru Ampang pada 16 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Altimet teruja sokongan padu penduduk Ampang, puji kerja keras jentera HARAPAN

Oleh SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA. 17 NOV: Penyanyi rap, Altimet teruja dengan sokongan padu ribuan penduduk Ampang yang sanggup berhujan ketika ceramah calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Ampang, Rodziah Ismail, semalam.

Pemilik nama Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 43, turut memuji kerja keras jentera bagi memastikan program berkenaan berjalan lancar dan aman.

“Alhamdulillah, kita ada letakkan sasaran kehadiran, tapi (kehadiran) melebihi sasaran. Sokongan orang ramai yang hadir sangat menggalakkan.”

“Saya rasa bangga dengan kerja keras jentera yang memberikan sepenuh sokongan kepada calon (Rodziah),” katanya.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Ampang berkata beliau akan memanfaatkan tempoh kempen yang berbaki beberapa hari untuk memenangkan Rodziah.

“Saya tidak mengawal keputusan (PRU), tapi saya boleh kawal usaha saya,” katanya.

Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon gabungan itu Rodziah Ismail diiringi Datuk Hans Isaac, Datuk Afdlin Shauki bersama Altimet (kanan) menyanyikan lagu Siapa Sokong Penyamun ketika ceramah umum di Bandar Baru Ampang pada 16 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Berlangsung di tapak pasar malam Bandar Baru Ampang, ceramah HARAPAN semalam diserikan dengan amanat Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Roziah, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi turut berucap sementara Dato’ Hans Isaac dan Datuk Afdlin Shauki antara selebriti yang hadir memberi sokongan.


Pengarang :