Kejadian banjir kilat di sekitar Sg. Buloh, pada 10 November 2022 jam 5 petang. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

Amaran hujan lebat tujuh daerah di Selangor hingga 1 pagi

SHAH ALAM, 10 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir di tujuh daerah dalam Selangor sehingga 1 pagi.

Daerah berkenaan ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.

Cuaca buruk sama diramal berlaku di Kuala Lumpur, Labuan dan beberapa daerah di Kedah, Perak, Pahang,  Sarawak serta Sabah.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Sementara itu, berdasarkan maklumat di https://publicinfobanjir.water.gov.my/ setakat 9.45 malam ini bacaan air Sungai Binjai di pekan Meru Klang dan Sungai Bakul dekat Kampung Budiman, Petaling berada pada paras bahaya dengan trend meningkat.


Pengarang :