Penduduk menggunakan lif yang baharu dinaik taraf ketika tinjauan di Pangsapuri Kenanga, Gombak pada 9 November 2022. Lif dan beberapa kemudahan lain di pangsapuri itu dinaik taraf menggunakan peruntukan RM850,000 daripada Kerajaan Negeri. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Amirudin banyak berjasa pastikan penghuni Pangsapuri Kenanga hidup selesa

GOMBAK, 10 NOV: Lebih 1,000 penduduk Pangsapuri Kenanga di sini hidup selesa dengan penyediaan pelbagai kemudahan bernilai lebih RM1.2 juta hasil usaha Dato’ Seri Amirudin Shari sejak bergelar wakil rakyat pada 2008.

Setiausaha Badan Pengurusan Bersamanya Kharis Padzilah Saleh berkata dana terbesar membabitkan RM850,000 untuk menaik taraf lif yang siap pada tahun lalu.

Beliau berkata Dato’ Menteri Besar turut meluluskan RM140,000 bagi menurap jalan, RM248,000 (ganti bumbung), RM30,000 (naik taraf dewan) selain bantuan makanan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sejak jadi wakil rakyat (Batu Caves kini dikenali Sungai Tua) sehingga Dato’ Menteri Besar kini, beliau bantu penduduk tanpa mengira fahaman politik supaya hidup kami lebih selesa.

“Pokok buah-buahan seperti mata kucing yang ditanamnya bersama penduduk mula mengeluarkan hasil, Alhamdulillah rezeki itu dikongsi bersama,” katanya semalam.

Pada 4 November lalu, Amirudin turut mengumumkan Kerajaan Negeri menampung kos RM2.2 juta bagi menyelesaikan hak milik strata membabitkan tiga pangsapuri di Taman Gombak Permai termasuk Pangsapuri Kenanga.

Pengerusi JMB Pangsapuri Kenanga Farid Hassin (kanan) dan Setiausaha JMB Kharis Padzilah Saleh memantau kamera litar tertutup lif ketika tinjauan di pangsapuri berkenaan di Gombak pada 9 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mula dibina pada 2005 menerusi projek setinggan sifar, Pangsapuri Kenangan mula dihuni pada 2008 namun tidak mempunyai hak milik strata atau hak milik bertingkat sehingga kini.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar bagi Parlimen Gombak.

Beliau mencabar penyandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.

Pengerusi JMB Pangsapuri Kenanga Farid Hassin (kanan) bersama Setiausaha JMB Kharis Padzilah Saleh memantau pusat kitar semula ketika tinjauan di Pangsapuri Kenanga, Gombak pada 9 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :