Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pengundi pada kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Selayang Baru, Gombak pada 12 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amirudin: Guna kuasa undi tolak kumpulan pengkhianat, perompak

GOMBAK, 12 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari mengajak rakyat menggunakan kuasa mengundi pada 19 November ini untuk menolak kumpulan 2P (pengkhianat dan perompak).

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Gombak berkata kumpulan melibatkan pimpinan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional menyebabkan negara tidak stabil dan menjejaskan kehidupan rakyat.

Menurutnya, pimpinan terbabit termasuk penyandang Parlimen Gombak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada 2020.

“Rakyat menjadi keliru dan orang tidak mahu melabur di sini, kita undi sekali (pada pilihan raya 2018) tetapi dapat tiga perdana menteri.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan logo HARAPAN ketika menyampaikan amanatnya kepada pengundi dalam ceramah di Selayang Baru, Gombak pada 12 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Hal ini berlaku disebabkan mereka tidak mahu HARAPAN yang mendapat mandat ketika itu berjaya menjadi kerajaan adil, negeri pembangkang pun kita beri peruntukan,” katanya malam ini.

Bercakap pada ceramah di Selayang Baru, Amirudin berkata HARAPAN menawarkan yang terbaik antaranya memperkasa pendidikan, menangani kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan warga emas.

HARAPAN mengumumkan 39 tema menarik untuk pengundi jika diberi mandat mentadbir negara selepas memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tumpuan meliputi memperkenal Akta Penggal Tetap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), biasiswa pendidikan untuk pelajar berpendapatan rendah dan elaun khas buat individu hilang kerja.

Butiran lanjut azam gabungan tersebut boleh diakses menerusi pautan https://kitaboleh.my/.


Pengarang :