Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap menerusi program Santai Bersama Dato’ Menteri Besar di Saujana Utama pada 14 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amirudin: Isytihar harta bukti ketelusan, bukan sandiwara raih undi

SHAH ALAM, 15 NOV: Pengisytiharan harta oleh calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bukti ketelusan parti itu.

Naib Presiden KEADILAN Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan tersebut bukan satu sandiwara atau menunjuk-nunjuk, semata-mata untuk mendapatkan sokongan pengundi.

“Apabila kita isytihar harta, itu maknanya kita telus. Rakyat perlu tahu wakil rakyat kerja sebagai apa, kenapa tiba-tiba kaya, rumah, isteri dan kereta bertambah.

“Ini semua rakyat perlu sebab mereka adalah pembayar cukai, elaun dan gaji wakil rakyat daripada cukai rakyat. Takkan wakil rakyat nak melahap semuanya, kita ada elaun dan pendapatan,” katanya pada program ceramah kelompok di Taman Saujana Utama di sini malam tadi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli memaklumkan semua calon KEADILAN perlu mengisytiharkan harta mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Baru-baru ini, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa syarat KEADILAN untuk mengisytihar harta satu kebodohan dan mahu menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.


Pengarang :