Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari menziarahi penduduk di Taman Samudra, Gombak pada 9 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Amirudin mahu perjuang isu pendidikan, bekalan makanan di parlimen

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 9 Nov:  Dasar pendidikan, jaminan bekalan makanan dan pembangunan generasi muda antara isu yang dibawa ke parlimen jika diberi mandat oleh pengundi Gombak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut sudah ditekuninya sejak sekian lama serta wajar diketengahkan demi masa depan rakyat dan negara yang lebih baik.

“Selaku calon ahli parlimen, kita juga bertanggungjawab untuk membincangkan dasar-dasar negara selain nasib dan hak dan rakyat di sini (Parlimen Gombak).

“Isu-isu seperti dasar pendidikan, jaminan bekalan makanan dan pembangunan generasi muda akan diangkat di parlimen jika diberi peluang,” katanya selepas majlis minum petang bersama penduduk di Flat Taman Samudra di sini, semalam.

Dalam pada itu, Dato’ Menteri Besar berkata isu melibatkan pengurusan tanah, nasib penduduk, pendidikan, ekonomi dan wanita antara yang akan dirungkaikan dalam pembentangan tawaran esok.

“Dengan bantuan jentera HARAPAN, saya akan bekerja keras dalam hari kempen yang berbaki untuk menawan hati semua peringkat umur pengundi di Gombak bagi mendapatkan majoriti selesa pada hari pengundian 19 November ini.

“Semua calon percaya akan menang. Saya juga percaya ada peluang menang, tapi kita perlu kerja kuat,” katanya yang turut memberitahu menggunakan media sosial dan menganjurkan program sesuai untuk menarik perhatian pengundi 18 tahun.

Terdahulu beliau melakukan lawatan ke beberapa rumah antaranya pesakit orang kurang upaya Ratna Juita Amran, 52, dan warga emas yang hampir buta akibat penyakit M Subramaniam, 68, sebelum melawat pasar malam di kawasan tersebut.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar.

Beliau mencabar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini menang atas tiket KEADILAN, tetapi mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari menyapa penduduk di Taman Samudra, Gombak pada 9 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :