Calon Pakatan Harapan Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama penduduk ketika kenduri rakyat di Kampung Changkat Kiri, Gombak pada 11 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Amirudin: Pilih HARAPAN tadbir negara, BN dan PN gagal bantu rakyat

GOMBAK, 12 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru rakyat memberi peluang kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) mengemudi negara dengan memberi kemenangan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata masa depan negara tidak seharusnya dipertaruhkan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang terbukti gagal.

Menurut Amirudin yang juga calon HARAPAN Parlimen Gombak, gabungan itu menawarkan pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diyakini mampu mengemudi negara di saat mencabar.

“PN calonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan BN sama ada Datuk Seri Ahmad Zahid atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mereka inilah yang mentadbir kerajaan gagal.

“(Penyandang) Ahli Parlimen Gombak (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) ada dalam kerajaan gagal itu, dalam pentadbiran merekalah banyak kehilangan nyawa, ramai bunuh diri dan orang angkat bendera putih sebab tidak cukup makan,” katanya.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar berucap dalam kenduri rakyat di Kampung Changkat Kiri di sini, malam tadi.

Amirudin diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat pencabar di Gombak.

Beliau mencabar Mohamed Azmin dari Perikatan Nasional yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.

 


Pengarang :