Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga calon HARAPAN Parlimen Gombak bersalaman bersama jentera HARAPAN ketika program Gombak Bermaruah di Dewan Sri Siantan, Gombak pada 3 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Amirudin seru menangkan HARAPAN, pulihkan maruah Gombak

GOMBAK, 4 NOV: Kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) penting bagi memulihkan semula maruah pengundi Gombak yang tercalar, kata Dato’ Seri Amirudin Shari, calon HARAPAN bagi parlimen tersebut.

Beliau berkata Gombak antara medan gelombang reformasi yang penting sejak 1998 hingga menubuhkan kerajaan negeri pada 2008 diikuti pembentukan kerajaan persekutuan pada 2018 selepas bertahun-tahun berjuang.

“Tetapi malangnya, selepas 22 bulan yang belum sempurna kita lengkapkan proses reformasi di sini sana, ada orang yang mula terbayang dengan suasana dan peluang untuk mengambil kedudukan.

“Berpuluh tahun jerit reformasi, berpelusuk negara ke sana ke mari…. tetapi kerana bisikan syaitan, kerana ketakutan beberapa orang, berlakulah pengkhianatan dan malangnya sebahagian permulaan itu daripada orang yang kita pilih di Gombak.

“Alhamdulillah, Gombak tidak terbubar, masih jadi kubu KEADILAN. Malah, HARAPAN bertambah kukuh selepas episod malang yang melanda negara,” katanya diikuti sorakan orang ramai.

Berucap dalam program Himpunan Gombak Bermaruah dan Pelancaran Jentera Parlimen Gombak di sini malam tadi, Amirudin juga mengingatkan jerih perih dan pengorbanan rakyat untuk memenangkan HARAPAN.

“Rakyat keluar wang poket untuk derma kepada HARAPAN. Ada beri RM2, ada bagi RM100, ada RM100,000, kerana apa? Kerana orang Gombak, orang Selangor, orang Malaysia mengharapkan perubahan untuk kebaikan negara.

“Ramai daripadanya orang-orang Gombak. Ada telah meninggal dunia, ada yang kehilangan kerja, dengan harapan Malaysia jadi sebuah negara lebih adil dan menyatakan kepelbagaian kaum,” kata pengerusi HARAPAN Selangor itu.

Justeru, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berazam untuk mengembalikan semula maruah pengundi Gombak dengan mengembalikan kerusi parlimen tersebut ke tangan HARAPAN.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk pertahan Gombak dan kembalikan maruah yang tercalar kerana kita pernah hantar ahli parlimen yang menjadi salah satu punca ketidakstabilan politik dan ekonomi negara kita,” katanya lagi.

“Jadikan Gombak bermaruah. Kita ada maruah dan harga diri. Pastikan PRU15 ini Gombak bermaruah dan dipertahan dengan undi HARAPAN.”

Kerusi itu disandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selama tiga penggal sebelum bersama pemimpin lain mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya yang baru berusia 22 bulan tumbang.


Pengarang :