Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari menziarahi penduduk ketika berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Taman Samudra, Gombak pada 9 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amirudin tekad tidak ambil gaji ahli parlimen, salur ke tabung kebajikan Gombak

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 10 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari tidak akan mengambil gaji sebagai ahli parlimen jika menang kerusi Parlimen Gombak sebaliknya disalur ke tabung kebajikan penduduk ditubuhkannya.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) itu menegaskan beliau bertanding bukan kerana mengejar gaji dan jawatan sebaliknya demi mempertahan prinsip dan maruah Gombak selain membawa perubahan di kawasan itu.

“Insya-Allah satu sen pun duit gaji ahli parlimen saya takkan sentuh. Saya hendak buat tabung khas untuk rakyat di kawasan berkenaan.

“Tabung ini saya akan kumpul, saya cari juga pelabur lain masukkan dan kita akan guna untuk kebajikan serta masa depan penduduk Gombak,” katanya dalam Majlis Santai Bersama Penduduk Taman Sunway Batu Caves di sini semalam.

Pengerusi HARAPAN Selangor yang juga Dato’ Menteri Besar kesal berikutan penyandang kerusi kawasan itu mengalih sokongan dengan mengabaikan mandat penduduk.

“Jadi katak lompat. Kita malu setengah penggal dulu kerana ahli parlimen yang tidak bertanggungjawab. Kali ini, kita rehatkan dia dan pilih HARAPAN, pilih Amirudin calon nombor dua,” ujarnya.

Amirudin dipercayai merujuk penyandang tiga penggal kerusi itu yakni Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang kini bertanding mewakili Perikatan Nasional.

Calon lain ialah Datuk Megat Zulkarnain Omardin dari Barisan Nasional, Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Pejuang) dan Zulkifli Ahmad (Bebas).


Pengarang :