Calon Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama penduduk selepas ceramah kelompok di Pangsapuri Laksamana B, Gombak pada 7 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Amirudin umum derma gaji ahli parlimen jika menang Gombak

GOMBAK, 10 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari akan menderma gaji ahli parlimen kepada Dana Komuniti Gombak bagi membantu masyarakat jika menang Parlimen Gombak pada 19 November.

Dibantu derma pihak swasta, sumbangan berkenaan dibuat jika beliau masih kekal sebagai Ahli Dewan Negeri Sungai Tua dan jawatan dalam pentadbiran negeri.

“Keseluruhan gaji ini akan diletakkan di tabung selain menjemput pihak swasta atau mereka yang ingin menyumbang.

“Tabung ini berguna untuk membangunkan komuniti, prasarana dan kemudahan kepada rakyat secara terus,” katanya ketika mengumumkan Deklarasi Gombak Bermaruah di sini hari ini.

Semalam, Amirudin berkata beliau tidak akan akan mengambil gaji sebagai ahli parlimen kerana beliau bertanding bukan kerana mengejar gaji dan jawatan.

Sebaliknya beliau menawarkan diri demi mempertahan prinsip dan maruah Gombak selain membawa perubahan di kawasan itu.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar bagi Parlimen Gombak.

Beliau mencabar penyandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.

Selain itu, Amirudin turut berhasrat menubuhkan kompleks warga emas dengan kerjasama sektor awam dan swasta lengkap kemudahan riadah, senaman, sukan ringan, ruang membaca dan zon hijau.


Pengarang :