Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan menyantuni penduduk ketika berkempen di sekitar kawasan Parlimen itu pada 15 November 2022. Foto Facebook Ramanan Ramakrishnan DR
AGENDANASIONAL

Anak muda diseru keluar mengundi esok, pilih pemimpin bebas rasuah

Oleh Alang Bendahara

PETALING, 18 NOV: Menjelang hari pengundian pillihan raya umum ke-15 (PRU) esok, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Buloh menyeru pengundi muda seluruh negara keluar mengundi.

Calon Datuk R Ramanan berkata semua anak muda harus bersemangat dan keluar beramai-ramai melaksanakan tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang bersih.

“Kuasa undi kini di tangan anda, ia juga kuasa untuk melakukan perubahan dan membuat pembaharuan.

“Anak muda perlu sedar bahawa jika mereka biarkan pencurian, perompakan dan rasuah terus berleluasa, maka masa depan mereka akan gelap.

“Maka amatlah kritikal untuk pengundi muda membuat perubahan itu sekarang dan tidak menunggu lima tahun akan datang untuk melihat kerosakan yang berlaku,” katanya kepada Selangorkini di Sungai Buloh semalam.

Beliau juga mengajak rakyat Malaysia serta pengundi Sungai Buloh turut keluar mengundi serta melakukan perubahan di peti undi.

“Pengundi muda adalah masa depan negara, maka kita tidak boleh meninggalkan sebuah masa depan yang gelap buat mereka,” kata beliau.

Beliau berkata cuma HARAPAN yang dapat membawa perubahan tersebut dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Ramanan yang menggantikan penyandang terdahulu R Sivarasa bakal dicabar bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin daripada Barisan Nasional dan Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional).

Turut bertanding, Mohd Akmal Mohd Yusof (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon Bebas Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.


Pengarang :