Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan bertemu pengundi sekitar Subang pada 9 November 2022. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anak muda diseru keluar mengundi, pilih calon jaga kebajikan rakyat

PETALING, 17 NOV: Pengundi muda di Parlimen Sungai Buloh diseru menjalankan tanggungjawab kepada negara pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk R Ramanan berkata berdasarkan pemerhatiannya ketika berkempen, golongan itu didapati kurang berminat malah masih belum memutuskan untuk mengundi.

“Setakat ini kita lihat ramai anak muda masih belum membuat keputusan memilih parti atau calon mana malah belum tahu sama ada mahu keluar undi atau sebaliknya.

“Masalah ini bukan hanya dihadapi HARAPAN tetapi saya yakin semua calon di Sungai Buloh berdepan perkara sama. Mengundi ini satu kewajipan dan penting untuk masa depan negara,” katanya  kepada SelangorKini.

Beliau turut menasihati golongan terbabit supaya memilih calon yang tepat bagi memastikan kehidupan rakyat lebih terbela.

Ramanan yang menggantikan penyandang terdahulu R Sivarasa bakal dicabar bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin daripada Barisan Nasional dan Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional).

Turut bertanding, Mohd Akmal Mohd Yusof (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon Bebas Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.


Pengarang :