Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) memacak bendera menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Jalan Lapangan Terbang Subang, Shah Alam pada 7 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anak muda diseru undi HARAPAN: Hutang negara RM1.2 trilion untuk apa? ‘Sakau’ wang rakyat

SHAH ALAM, 18 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru anak muda memberi mandat kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) supaya gejala rasuah dapat dihentikan sekali gus tidak diwarisi golongan itu.

Pengerusi HARAPAN tidak mahu melihat masa depan golongan itu diperkotak-katik oleh pemimpin yang menyeleweng wang rakyat demi kepentingan peribadi.

“Masa depan (anak muda) jangan biarkan orang-orang rasuah tentukan. Kita hutang RM1.2 trilion, siapa yang nak bayar? Anak muda… kenapa? Pinjam untuk pembangunan, bina jambatan, projek rakyat? Tidak… tapi pinjam untuk sakau wang rakyat.

“Saya mahu anak muda bangkit (dengan) cita-cita murni, benci kezaliman, rasuah, hipokrasi, kepura-puraan. Bagi kita mandat, kita hentikan kerja biadab dan kurang ajar ini,” katanya ketika menyampaikan amanat di Ipoh, Perak.

Anwar juga menggesa anak muda supaya tidak mudah terpukau dengan propaganda hasutan kaum dan agama oleh pihak tertentu.

“Saya sengaja ulang hal ini kepada anak muda supaya boleh nilai jenis pemimpin Melayu yang kita mahu tonjolkan.

“Saya orang Melayu, saya memperjuangkan bahasa Melayu dan pendidikan kebangsaan semasa di universiti dulu. Tiada tokoh-tokoh yang boleh cabar rekod itu,” katanya.


Pengarang :