Pengundi muda Fatin Norfidiyana Rostam, 19, ketika mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Larkin pada Pilihan Raya Negeri Johor di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan 1 Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anak muda rujuk media sosial pilih calon, buat persediaan mengundi

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KUALA LANGAT, 12 NOV: Media sosial menjadi rujukan popular anak muda yang bakal mengundi kali pertama pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) 19 November nanti.

Bagi pekerja kilang Mohamad Azhar Anuar, 24, pengalaman tersebut membuatkannya banyak mendapatkan maklumat di platform itu mengenai pelbagai perkara termasuk perjalanan dan persediaan sebagai pengundi, calon, parti politik serta perkara lain berkaitan.

“Kami memang generasi yang banyak terdedah dengan media sosial maka ia menjadi rujukan sebagai contoh apa keperluan perlu dibawa ketika mengundi nanti.

Mohamad Azhar Anuar. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Selain itu, calon juga saya kaji di situ walaupun belum pasti realitinya tetapi saya cuba buat penilaian,” katanya kepada Selangorkini.

Penghantar makanan Ahmad Aidil Mat Safiee, 23, berkata perasaan takut mengundi melebihi rasa teruja kerana bimbang tersalah pilih namun akan tetap melakukan tanggungjawab itu nanti.

“Jujurnya saya rasa risau dan hanya media sosial bagi memperoleh maklumat walaupun belum pasti betul atau tidak. Yang pasti saya akan banyak berdoa kepada Allah dan berserah agar calon dipilih nanti yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

Bagi peniaga makanan Saidatul Afiqah Imran, 22, pula masih membuat analisa di media sosial calon mana yang bakal diundi.

Saidatul Afiqah Imran. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Rasa teruja tetapi masih belum tahu mana nak pilih. Masih kaji lagi dan mereka yang datang berkempen di kawasan kami.

“Walaupun anak muda dianggap masih belum cukup matang tetapi kami juga mahu pemimpin yang mendengar suara rakyat,” katanya.

Menurut statistik terbaru Pejabat Pilihan Raya Selangor, pemilih layak mengundi pada PRU15 di negeri ini seramai 3,677,848 berbanding 2,415,074 pada pilihan raya umum sebelum ini.

Pengundi dewasa berusia 21-59 tahun adalah pemilih tertinggi iaitu 2,805,596 orang atau 76.29 peratus, warga emas 60 tahun ke atas (598,549) manakala belia 18 hingga 20 tahun pula kira-kira 273,703 pengundi atau 7.44 peratus.


Pengarang :