Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap ketika Majlis Pelancaran Buku ‘Membangun Negara Madani’ di Hotel Tamu, Kuala Lumpur pada 3 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Buku Membangun Negara Madani diilham pengalaman politik, dakwah dan bacaan

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka untuk menerima sebarang kritikan berhubung penulisan buku ‘Membangun Negara Madani’.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata aspek yang dibawa dalam buku tersebut seharusnya dibaca, diulas dan dijadikan perbincangan berbanding maki hamun ketika pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Penulisan buku ini diilhamkan daripada pengalaman politik, kegiatan dakwah dan pembacaan ribuan buku tentang negara dan wawasan. Saya tidak mahu terikat dengan parti dan tokoh sahaja tetapi mahu soal dasar juga.

“Kita hanya berbicara soal wakil rakyat dan perdana menteri tetapi apa rencana dan kerangka besar pemikiran, itu disebut dalam buku ini. Buku ini boleh dijadikan tajuk perbincangan kerana melihat dasar, isu kemampanan ekonomi dan ihsan.

“Semua ini perlukan sifat penyayang dalam Malaysia dan mempertahan nilai akhlak yang menjadi teras dalam fahaman Islam dan didukung agama lain. Kalau nak setuju dan kritik boleh dalam perbahasan yang lebih teratur serta sopan,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan buku ‘Membangun Negara Madani’ yang sebelum ini ditulis dalam bahasa Inggeris bertajuk SCRIPT-For a Better Malaysia di Hotel Tamu hari ini.

Buku setebal 187 muka surat itu menggariskan aspek merangkumi kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan.

Karya terbitan Institut Darul Ehsan (IDE) dengan kerjasama Pusat Dasar Pasca Normal dan Kajian Masa Depan (CPPFS) menekankan dasar rangka kerja bagi memenuhi keperluan serta potensi masa depan negara.


Pengarang :