Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada sesi ramah mesra bersama penyokong calon HARAPAN Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid di Jalan Padang pada 16 November 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar gesa pilih pemimpin jujur, boleh selesai isu rakyat

KLANG, 16 NOV: Rakyat perlu memilih pemimpin yang jujur dan bebas rasuah bagi menstabilkan semula ekonomi dan memastikan negara terus maju, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu, pemimpin yang dipilih rakyat bertanggungjawab menentukan keadaan semasa khususnya harga barang dan kos sara hidup.

“Berapa banyak kita tukar perdana menteri sehingga ada yang khianat tetapi pendapatan rakyat tidak naik, bahkan harga barang meningkat. Apa erti pimpinan kalau masalah ekonomi rakyat tidak selesai?

“Mereka tidak bincang atau bawa Malaysia sebagai kuasa ekonomi. Apa erti bersih jika rakyat terus hidup susah, Covid-19, tiada kerja, gaji tidak naik tetapi harga barang meningkat?” soalnya.

Berucap pada ceramah mega HARAPAN di sini hari ini, Anwar turut mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil tindakan tegas terhadap calon yang membawa isu perkauman ketika berkempen.

“Kalau diberi peluang menjadi perdana menteri, pendirian saya jelas. Saya akan tolong Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak kerana mereka juga lahir di sini serta hidup susah.

“Apa erti jadi pemimpin kalau tidak mahu bantu. Kita perlu bantu semua kaum yang miskin,” katanya, yang juga calon HARAPAN Parlimen Tambun.


Pengarang :