Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaminkan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah selepas menandatangani Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 pada istiadat pengurniaan yang berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, pada 24 November 2022. Hadir sama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan). -Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Anwar kekal dengan janji tolak gaji perdana menteri

SHAH ALAM, 24 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal dengan janjinya untuk tidak mengambil gaji perdana menteri seperti yang dilaungkan ketika kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tegasnya keputusan itu sebagai langkah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, menteri dan pemimpin parti.

“Tidak… saya telah umumkan bahawa itu langkah pertama untuk pulihkan keyakinan rakyat supaya tak lihat menteri dan pemimpin itu, tak kira parti dan agama, semuanya hanya fikir gaji, kepentingan, kontrak dan saham… maka saya pilih untuk tolak gaji PM,” katanya seperti dilapor Bernama.

Bercakap pada sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri, Anwar memaklumkan beliau akan memulakan tugas secara rasmi di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya sebelum 10 pagi esok.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong selepas negara berdepan kemelut politik yang menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada PRU15.


Pengarang :