Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menandatangani buku Membangun Negara Madani ketika majlis pelancaran naskhah berkenaan di Hotel Tamu, Kuala Lumpur pada 3 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar lancar buku Membangun Negara Madani, angkat nilai akhlak dalam kerangka reformasi

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan buku ‘Membangun Negara Madani’ yang menggariskan visi dan kerangka dasar reformasi.

Bertempat di Hotel Tamu, Kuala Lumpur, naskhah setebal 187 muka surat itu merupakan buku edisi Bahasa Melayu daripada SCRIPT-For a Better Malaysia yang dilancar pada 2 Oktober.

Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata beliau mula mencatat idea-idea dalam buku tersebut ketika di Penjara Sungai Buloh sebelum dikembangkan oleh beberapa pihak.

“Buku yang ditulis termasuk membincangkan isu-isu baharu dan bukannya idea saya semata-mata,” katanya ketika majlis peluncuran buku tersebut.

“Madani mula dicatat dan dibukukan kerana kita mahu mengelak ia menjadi slogan kosong dan retorik semata-mata, umpama melayu baharu tetapi korupsi tetap sama juga.”

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) merasmikan Peluncuran Buku ‘Membangun Negara Madani’ di Hotel Tamu, Kuala Lumpur pada 3 November 2022. Turut sama Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Anwar yang juga Pengerusi Emeritus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam berkata buku Madani itu juga terhasil susulan isu nilai dan akhlak tidak banyak dibahaskan dalam idealisme politik.

“Perlu beri penekanan dalam wawasan tentang pembangunan seutuhnya yang mencakupi beberapa bidang dan ilmunya termasuk pendekatan baharu seperti pendigitilan tetapi mendasari ia haruslah soal nilai dan akhlak.

“Kegagalan masa lalu kerana membicarakan pertumbuhan dan sosial tetapi tidak isu nilai serta akhlak. Jadi kita kena perbaharui hal yang sudah menjadi dasar tetapi perlu diungkap dalam bentuk kaedah baharu,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap ketika Majlis Pelancaran Buku ‘Membangun Negara Madani’ di Hotel Tamu, Kuala Lumpur pada 3 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Karya terbitan Institut Darul Ehsan (IDE) dengan kerjasama Pusat Dasar Pasca Normal dan Kajian Masa Depan (CPPFS) menekankan dasar rangka kerja bagi memenuhi keperluan serta potensi masa depan negara.

Aspek digariskan dalam naskhah tulisan ketua pembangkang itu merangkumi kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan.


Pengarang :