Orang ramai mengambil kesempatan bersalaman dengan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Hulu Selangor Bersama Anwar Ibrahim di Dataran Niaga Serendah pada 16 November 2022. Foto Facebook Dr Sathia Prakash Nadarajan
AGENDANASIONAL

Anwar: Menangkan HARAPAN, peluang bina semula ekonomi negara

OLEH DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 16 NOV: Kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU) penting bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan segera.

Pengerusi gabungan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia juga dapat memastikan nasib rakyat berbilang kaum terbela jika HARAPAN diberi mandat menerajui Putrajaya.

“Bila anda beri HARAPAN mandat, kita boleh laksanakan agenda pembangunan ekonomi dan bawa masuk pelaburan. Bila ada kuasa, kita boleh manfaatkan hubungan baik dengan pemimpin-pemimpin dunia dan peniaga supaya datang melabur dan angkat ekonomi Malaysia.

“Kalau kita susun betul-betul, pilih orang yang baik, ambil golongan muda yang ada keupayaan, saya yakin ekonomi Malaysia akan naik dan maju,” katanya dalam ceramah di sini hari ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu turut menyeru pengundi kawasan berkenaan membuat keputusan bijak dengan memilih calon HARAPAN pada 19 November nanti.

Gabungan itu mencalonkan Dr Sathia Prakash Nadarajan untuk menentang lima lagi calon, sekali gus mempertahan kerusi yang dimenangi gabungan tersebut dalam PRU lalu.


Pengarang :