Istana Negara tersergam indah di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar, Muhyiddin dititah menghadap jam 4.30 petang

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadap Seri Paduka di Istana Negara pada 4.30 petang ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata ini berikutan tiada Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata Istana Negara hari ini telah menerima pemakluman berkenaan gabungan parti-parti politik pasca-pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu daripada ketua parti dan ketua gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang banyak, susulan keputusan PRU15.

“Bersama pemakluman itu, ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik berkenaan turut mengemukakan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 kepada Istana Negara sepertimana yang telah diminta dengan kerjasama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun pada 20 November,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lanjutan daripada itu, proses pengesahan calon perdana menteri yang memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat telah dilaksanakan oleh Al-Sultan Abdullah, supaya Seri Paduka dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“..setelah dipersembahkan hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” kata Ahmad Fadil.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka bertitah dan menasihati seluruh rakyat supaya bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Keputusan PRU15 menyaksikan HARAPAN memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. – BERNAMA

 

 


Pengarang :