Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berarak bersama penyokong ke pusat penamaan calon bagi Parlimen Tambun di Dewan Sri Kledang Institut Latihan Perindustrian Meru pada 5 November 2022. Foto Twitter Anwar Ibrahim
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anwar pimpin HARAPAN galas tugas tewaskan calon paling tadah

SHAH ALAM, 5 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janjinya untuk mencabar ahli parlimen yang meninggalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) sekali gus mengetuai serangan gabungan itu di Perak.

Berdepan saingan empat penjuru di kerusi Tambun, bekas timbalan perdana menteri itu yang juga pengerusi HARAPAN menentang penyandang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Perikatan Nasional (PN).

Kerusi itu dimenangi Ahmad Faizal atas tiket Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pada 2018 tetapi keluar daripada HARAPAN susulan krisis politik Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Calon lain yang turut bertanding ialah Datuk Aminuddin Md Hanafiah dari Barisan Nasional (BN) dan Abdul Rahim Tahir mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Selain Anwar, calon HARAPAN lain turut menggalas tugas berat di kubu kuat BN antaranya Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang mencabar Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin (tiga, kiri) bersama penyokong berarak ke pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, Perak pada 5 November 2022. Foto Twitter Shamsul Iskandar

Zolkharnain Abidin pula melawan penyandang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN) di Larut yang menang kerusi tersebut atas tiket BN. Dua lagi calon yang mencabarnya, Mohd Shafiq Fadhly Mahmud (BN) dan Auzaie Fadzlan Shahidi (Pejuang).

Anak bekas menteri besar Kelantan Nik Omar Nik Aziz berdepan Khairul Azwan Harun (BN), Jamaluddin Yahya (PN) dan Zairol Hizam Zakaria (Pejuang) di Pasir Salak.

Penyandangnya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak dicalonkan semula setelah keahliannya dalam Umno digantung selama enam tahun. Namun beliau hadir mengiringi Khairul Azwan.

Kerus Parlimen Gerik pula menyaksikan persaingan antara Ahmad Tarmizi Mohd Jam, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dasuki dan Fathul Huzir Ayob (PN).

Berikut beberapa kerusi dan calon menarik yang perlu diperhatikan di Perak:

P054 Gerik Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (BN *) dicabar Ahmad Tarmizi Mohd Jam (HARAPAN), Fathul Huzir Ayob (PN)

P055 Lenggong Jurey Latiff Rosli (HARAPAN), Rif’aat Razman (PN) lawan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN)*

P056 Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN)** dicabar Zolkharnain Abidin (HARAPAN), Shafiq Fhadly Mahmud (BN)

P057 Parit Buntar Datuk Seri Mujahid Yusof* (HARAPAN) berdepan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN), Imran Mohd Yusof (BN)

P058 Bagan Serai Siti Aishah Shaik Ismail (HARAPAN) saingi Datuk Idris Ahmad (PN), Zul Helmi Ghazali (BN*)

P062 Sungai Siput S Kesavan* (HARAPAN) dicabar Tan Sri SA Vigneswaran (BN), Datuk Seri G Irudianathan (PN)

P063 Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim (HARAPAN) lawan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN)**, Aminuddin Hanafiah (BN)

P073 Pasir Salak Nik Omar Nik Aziz (HARAPAN) berdepan Khairul Azwan Harun (BN*), Jamaludin Yahya (PN)

P075 Bagan Datuk Shamsul Iskandar Md Akin (HARAPAN), Dr Faiz Na’aman cabar Ahmad Zahid Hamidi* (BN)


Pengarang :