Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap ketika sidang media Pilihan Raya Umum ke-15 di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya pada 19 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar risau retorik perkauman, alu kenyataan tegas polis

SHAH ALAM, 22 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang melihat sentimen dan retorik perkauman yang terus diapikan oleh segelintir pihak yang terdesak dan berkepentingan sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata tindakan berkenaan tidak seharusnya berlaku disaat usaha menubuhkan kerajaan yang bertanggungjawab dan stabil sedang giat dilakukan.

“Usaha dan ikhtiar dalam menubuhkan kerajaan yang bertanggungjawab dan stabil tidak seharusnya berakhir dengan kekacauan kerana kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli, suku kaum Sabah dan Sarawak adalah bersaudara sebagai manusia dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan,” katanya di Facebook hari ini.

Justeru, Anwar amat mengalu-alukan kenyataan tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam menghentikan perkembangan yang mampu menggugat ketenteraman masyarakat majmuk di negara ini.

Sementara itu, Setiauasaha Agung DAP menyeru semua pihak bertenang dan sentiasa menjaga ketenteraman awam sepanjang masa.

“Ketika proses pembentukan kerajaan baru masih berjalan, DAP menyeru semua pihak untuk kekal bertenang dan sabar menunggu keputusan muktamad daripada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

“Proses yang sedang berjalan ini adalah sesuatu yang baru untuk negara kita, namun ia adalah suatu proses yang biasa yang perlu dilalui dalam sistem demokrasi berparlimen ala Westminster dalam keadaan tidak ada satu parti atau gabungan memenangi kerusi majoriti di Dewan Rakyat,” kata Anthony Loke dalam kenyataan hari ini.

Pilihan raya umum ke-15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah iaitu 112 kerusi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

HARAPAN memperoleh jumlah terbanyak dengan 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan gabungan parti-parti politik mengemukakan permohonan bagi pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri jam 2 petang ini setelah dilanjutkan sehari.


Pengarang :