Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sempena ceramah umum di Pangsapuri Seksyen 16, Shah Alam pada 17 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar seru penduduk Shah Alam bangkit selamatkan negara, tolak pengkhianat

SHAH ALAM, 17 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru penduduk Shah Alam bangkit menyelamatkan negara dengan memenangkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pengerusi HARAPAN berkata kemenangan Azli Yusof juga bertujuan mempertahankan Parlimen Shah Alam sebagai kubu kuat bawah gabungan itu selama tiga penggal.

“Shah Alam kubu kuat HARAPAN dan pastikan Azli Yusof berjaya menjadi ahli parlimen Shah Alam pada 19 November ini.

“Kalau nak selamatkan negara daripada rasuah, tolong rakyat di bawah, sokong HARAPAN kita tukar kerajaan 20 November ini dan 19 November malam kita isytihar Azli sebagai ahli parlimen Shah Alam, Insya-Allah,” katanya.

Orang ramai membanjiri padang Pangasapuri Seksyen 16, Shah Alam bagi mendengar ceramah disampaikan Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis minum petang Azli Yusof bersama Anwar Ibrahim di padang rumah pangsapuri Seksyen 16 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor Ir Izham Hashim dan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi.

Anwar turut mendakwa calon parlimen Shah Alam dari Perikatan Nasional (PN) Dr Afif Bahardin sebagai pengkhianat dan tidak wajar diundi sebagai pemimpin.

“Calon PN sini seorang pengkhianat, jangan kita pandang ringan dengan orang begini. Kerajaan kita sudah buat kerja dia pula khianat semata-mata mahukan jawatan.

“Dia tahu kalau bertanding di Permatang Pauh dia akan kalah sebab itu datang Shah Alam…jangan bagi maaf (kepada pengkhianat),” katanya.

Anwar turut menjelaskan undian rakyat bukan hanya disebabkan soal beliau diangkat sebagai perdana menteri sebaliknya mahu tukar sistem kerajaan sebelum ini yang makan duit rakyat.

“Ia bukan soal mahu tubuh kerajaan baharu, bukan juga soal mahu Anwar jadi perdana menteri tetapi kita tekad mahu tukar sistem kerajaan, pemimpin sebelum ini mencuri duit rakyat,” katanya.

Selangor merupakan negeri kubu kuat HARAPAN sejak Pakatan Rakyat berjaya merampas negeri itu daripada Barisan Nasional pada 2008.


Pengarang :