Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika program Santai dan Ceramah Umum Bersama Warga Tambun pada 9 November 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar seru rakyat bangkit tolak pemimpin gagal, pastikan negara kembali stabil

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 10 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat bangkit menolak pemimpin yang gagal mentadbir negara sehingga ramai terjejas dan hilang punca pendapatan.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata pilihan raya kali ini menjadi medan rakyat menentukan nasib mereka dan memastikan negara kembali stabil.

“Saya ingatkan rakyat agar buat pilihan bijak bagi menentukan nasib mereka untuk lima tahun mendatang dan juga demi masa depan.

“HARAPAN adalah satu-satunya gabungan yang benar-benar bergerak dan perjuangkan atas nurani rakyat,” katanya ketika ceramah umum bersama warga Tambun semalam yang disiarkan di Facebook.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika program Santai dan Ceramah Umum Bersama Warga Tambun pada 9 November 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Calon HARAPAN Parlimen Tambun menjelaskan rakyat tidak lagi sanggup menempuh pentadbiran Muhyiddin Yassin yang gagal menyediakan dasar ekonomi mampan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

“Tetapi jumlah jangkitan dan kematian terus meningkat. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga semasa itu mempunyai peluang untuk merubah sistem dan dasar ekonomi kepada yang lebih baik tetapi tidak,” katanya.

Menurut beliau, kegagalan terbesar PN adalah melantik 70 menteri kabinet bersama beberapa duta khas ketika rakyat menderita ekoran hilang punca pendapatan sehingga terpaksa mengangkat bendera putih.

“Saya turut tegaskan bahawa negara ini tidak perlukan ustaz yang rendah tahap pemikiran seperti yang ditonjolkan seorang pemimpin PAS di Semanggol berkenaan fitnah yang dilemparkan kepada saya,” ujarnya.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar besama warga tambun ketika program santai dan ceramah umum bersama penduduk pada 9 November 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Terdahulu, kempen Anwar sepanjang enam hari mendapat sambutan apabila ramai yang hadir di setiap ceramahnya untuk mendengar sendiri penjelasan dan tawaran HARAPAN.

Pelbagai tempat dilawati Presiden Parti Keadilan Rakyat sebelum ini termasuklah Jelajah Mega Harapan ke Johor pada 8 November, bertemu mahasiswa di Lembah Pantai dan penduduk setempat Melaka dan Negeri Sembilan (7 November).

Di Lembah Pantai semalam, ketegasan Anwar dalam isu rasuah menerima sambutan mahasiswa yang tidak mahu gejala berkenaan terus menjadi barah dalam negara.

Beliau berkata HARAPAN gabungan paling tegas dan lantang menentang rasuah serta keazaman gabungan itu tidak pernah luntur komitmen terhadap gejala itu.

Selain itu, Anwar turut menyeru pengundi menyokong calon HARAPAN Maszlee Malik di Simpang Renggam yang cemerlang ketika berkhidmat sebagai menteri pendidikan sebelum ini.


Pengarang :