Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dihadapan ratusan penduduk ketika ceramah mega gabungan itu di Parlimen Sungai Siput pada 14 November 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDA NASIONAL

Anwar terus gempur Perak, kempen HARAPAN dapat sambutan di semua negeri

SHAH ALAM, 14 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan kempen jelajah Pakatan Harapan (HARAPAN) di sembilan parlimen di Perak hari ini.

Mengetuai serangan gabungan itu di Perak, pengerusi HARAPAN turut mengempur Parlimen Sungai Siput bagi merampas kembali negeri berkenaan dalam pilihan raya negeri yang berlangsung serentak dengan pilihan raya umum Sabtu ini.

Berucap dalam ceramah meganya di Sungai Siput, Anwar menyeru rakyat membuat pilihan bijak bagi memenangkan calon HARAPAN, S Kesavan yang dicabar Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran sekali gus mengekalkan kubu kuat gabungan itu sejak 2008.

“Hanya Harapan yang mampu melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin melalui pelbagai agenda khusus terkait ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Usah terpedaya lagi dengan janji BN-PN yang terbukti gagal menjaga kebajikan rakyat dan negara,” katanya di Facebook.

Berdasarkan foto yang dimuat naik di laman sosial itu, kelihatan jelajah HARAPAN mendapat sambutan hangat daripada ratusan penduduk di setiap lokasi.

Jelajah calon HARAPAN Parlimen Tambun itu turut mengempur Parlimen Bagan Datuk yang disandang Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketibaan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut ratusan penduduk ketika ceramah perdana gabungan itu di Parlimen Kulim-Bandar Baharu pada 13 November 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Semalam, Anwar menerusi jelajah sama turun ke enam parlimen di Perlis dan Kedah bermula di Parlimen Kangar sebelum berakhir di Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Memasuki minggu terakhir berkempen, HARAPAN diserata negeri terus melipat gandakan usaha mendekati pengundi di kawasan masing-masing.

Anwar turut dijadual menghadiri Jelajah Mega Harapan Selangor di Padang MPAJ AU2 Taman Keramat, Hulu Selangor jam 8 malam pada 16 November.


Pengarang :