Penduduk di Kampung Sungai Pening, Semenyih Selangor dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan hujan lebat berterusan pada 17 November 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bah di Selangor, lebih 800 mangsa ditempatkan ke tujuh pusat pemindahan

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Hujan lebat berterusan sekitar Lembah Klang sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan dilaporkan terjejas akibat banjir antaranya di Selangor melibatkan Sepang, Hulu Langat, Petaling dan Klang.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor sebanyak tujuh PPS dibuka sejak awal pagi ini melibatkan perpindahan lebih 800 mangsa daripada kira-kira 200 keluarga.

PPS tersebut adalah Dewan Orang Ramai Gemilang, Taman Gemilang di Sepang; Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Semenyih dan Balai Raya Pekan Bangi Lama di Hulu Langat; Dewan Camelia Putra Height dan Masjid Putra Height di Petaling; Masjid Kampung Johan Setia dan Balai MPKK Kampung Jalan Kebun Batu 7 di Klang.

Manakala PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram di Kuala Selangor serta Dewan Bagan Nakhoda Omar dan Dewan Simpang 5 di Sabak Bernam masih beroperasi sejak 11 Nov.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata satu kejadian tanah runtuh berlaku awal pagi tadi di Taman Sri Jelok, Kajang melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat  dan  empat mangsa berusia 19 hingga 26 tahun berjaya diselamatkan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata situasi sekitar ibu negara masih dalam keadaan terkawal meskipun hujan lebat pada awal pagi tadi, namun pemantauan anggota diteruskan terutamanya di kawasan hotspot.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kekal 37 orang daripada 12 keluarga setakat 8 pagi ini melibatkan Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing dan Kampung Panchor.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa terjejas melibatkan penduduk di daerah Alor Gajah yang ditempatkan di satu pusat PPS.

“Kesemua mangsa itu ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal,” katanya

Di JOHOR, tiga daerah masih terjejas dengan banjir kilat iaitu Tangkak, Kluang dan Segamat yang menunjukkan bilangan mangsa turun sedikit kepada 325 orang setakat 8 pagi ini berbanding 327 orang, malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa terdiri daripada 80 keluarga itu masih ditempatkan di lima PPS yang masih beroperasi, setakat ini.

“Seramai 39 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 14 orang masih berada di Dewan Komuniti Tasek, Segamat; manakala 32 orang di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof di Kluang.

“Di Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama Simpang 5 Darat, Tangkak; menempatkan mangsa paling ramai, masing-masing 132 dan 108 orang berikutan banjir termenung,” menurut jawatankuasa itu.

JPBD turut memaklumkan paras air di Sungai Lenik (Ladang Cha’ah), Segamat mencatatkan paras bahaya dengan bacaan 6.09 meter.

Di PULAU PINANG, Penolong Pengarah Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang Mej (PA) Kamal Jakarinah berkata PPS Dewan Banjir Desa Puri ditutup sepenuhnya petang semalam selepas banjir yang melanda kawasan tersebut pulih.

— BERNAMA

 


Pengarang :