Keadaan banjir kilat akibat ban pecah di Kampung Ampar Tenang, Dengkil pada 29 November 2022. Foto Twitter JBPM Selangor
AGENDANASIONAL

Ban pecah di Dengkil, 18 keluarga dipindah ke lokasi selamat

SHAH ALAM, 29 NOV: Semua mangsa daripada 18 keluarga di Kampung Ampar Tenang, Dengkil dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat akibat ban pecah, petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor memaklumkan mereka ditempatkan ke kawasan selamat dan anggota bomba Dengkil menjalankan pemantauan lanjut bagi membantu mangsa.

“Sehingga kini Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Gemilang telah dibuka,” katanya menerusi Twitter.

Menurutnya, kejadian ban pecah itu disebabkan hujan lebat dan limpahan air dari projek perumahan berhampiran menyebabkan berlaku banjir sedalam 1.22 meter (m) membabitkan 10 rumah.

“Cuaca di lokasi adalah cerah dan paras air sungai pada tahap berjaga-jaga,” katanya.

Sementara itu, kawasan Taman Meru Jaya, Meru, Klang dan Taman Delima Jaya, Dengkil turut mengalami banjir kilat.

JBPM Selangor berkata hujan lebat menyebabkan banjir sedalam 0.30m di Taman Meru Raya melibatkan 18 rumah tetapi tiada pemindahan mangsa dilakukan.

“Manakala penduduk di Taman Delima Jaya dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan terus menghubungi JBPM jika keadaan semakin teruk,” katanya.


Pengarang :