Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang memindahkan warga emas selepas Kampung Ban RB, Sungai Sireh dilanda banjir pada 23 November 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ban pecah di Tanjong Karang, 111 mangsa ditempatkan ke dua pusat pemindahan

SHAH ALAM, 23 NOV: Seramai 111 penduduk di Kampung Baru Lembah Pantai dan Kampung Ban RB Sungai Sireh, Tanjong Karang dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat ban pecah, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Baru Lembah Pantai dan Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh, lapor Berita Harian.

“Untuk lokasi pertama di Kampung Baru Lembah Pantai, pihak bomba dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 4.47 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati kawasan rumah dihuni 92 penduduk dinaiki air yang mencecah 0.5 meter. Banjir berlaku berikutan ban pecah di lokasi berhampiran susulan hujan lebat berterusan sejak 2 pagi tadi,” kata Norazam Khamis.

Beliau berkata kejadian sama dilaporkan berlaku di Kampung Ban RB, Sungai Sireh pada 7.30 pagi, yang menyebabkan kediaman 19 penduduk dinaiki air sedalam 0.2 meter.

“Semua penduduk dinasihatkan mematuhi arahan pemindahan daripada pihak berkuasa bagi mengelak insiden tidak diingini,” katanya.

 


Pengarang :