Keadaan banjir yang melanda sekitar Tanjong Karang selepas benteng pecah awal pagi 6 November 2022 akibat air pasang besar. Foto Facebook Tanjong Karang
AGENSISELANGOR

Ban pecah siap dibaiki, tiada limpahan air pasang di Tanjung Karang

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Kerja pembaikan dan pengukuhan ban pecah yang menyebabkan kejadian banjir susulan limpahan air Sungai Tengi, Tanjong Karang, Selangor pada 4 pagi Ahad lepas, berjaya disiapkan pada 12 tengah malam hari yang sama.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataannya memaklumkan sehingga pukul 5 pagi semalam iaitu semasa air pasang pada ketinggian 5.30 meter, ban tersebut masih bertahan dan tiada limpahan air pasang dilaporkan.

“JPS Selangor akan sentiasa memantau dengan rapi situasi semasa di tapak serta kawasan berisiko berhampiran,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPS pelaksanaan kerja pembaikan dan pengukuhan ban berkenaan menggunakan peruntukan negeri.

Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, jabatan itu juga akan memohon peruntukan bagi melaksanakan projek pengukuhan dan penstabilan tebing sungai berkenaan.

“Bagaimanapun, pelaksanaan projek ini adalah tertakluk kepada kelulusan,” menurut kenyataan itu.

Pada Ahad lepas, Bernama melaporkan tujuh sekeluarga dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air susulan limpahan air akibat ban pecah di sekitar pekan Tanjong Karang.

– BERNAMA

 


Pengarang :