Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Ban pecah, tujuh sekeluarga di Tanjong Karang dipindahkan

SHAH ALAM, 6 NOV: Tujuh sekeluarga dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air susulan limpahan akibat ban pecah di sekitar Pekan Tanjong Karang, awal pagi tadi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata kesemua mangsa yang berusia dalam lingkungan empat hingga 70 tahun itu dipindahkan ke rumah jiran.

“Seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja kami menerima panggilan kecemasan pada 4.07 pagi.

“Operasi pemindahan kemudiannya dilakukan bermula 5.25 pagi tadi melibatkan sebuah keluarga selepas rumah mereka dinaiki air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata keadaan kini terkawal dan limpahan air setinggi satu meter awal pagi tadi di sekitar pekan itu telah surut.

Katanya pihaknya kini sedang berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk proses pembaikan ban.

“Air menunjukkan tren penurunan bermula 6.13 pagi dan pemantauan oleh bomba masih dilakukan di kawasan sekitar untuk sebarang kemungkinan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :