AGENSISELANGOR

Banjir di Tanjong Karang, pusat pemindahan dibuka tempatkan 10 mangsa

SHAH ALAM, 12 NOV: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Selangor iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sireh, Tanjong Karang yang menempatkan seramai 10 mangsa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata setakat pagi ini, sebanyak empat kawasan iaitu Lorong 14, 15, 18 dan 19 di Kampung Sungai Sireh dikenal pasti terjejas akibat banjir.

“Kesemua mangsa yang terlibat ditempatkan di SK Sungai Sireh…trend air banjir di sini dilihat mula menurun,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut laman web InfoBencanaJKM, setakat ini lapan PPS telah dibuka di Selangor iaitu tiga dalam daerah Klang, satu di daerah Petaling serta empat di Kuala Selangor yang menempatkan seramai 890 mangsa daripada 212 keluarga.

-BERNAMA


Pengarang :