EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau melihat peserta menjahit langsir menggunakan mesin yang disumbangkan dalam program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Hulu Langat di kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bangi pada 11 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Bantuan blueprint basmi kemiskinan diteruskan, peruntukan RM2 juta

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 25 NOV: Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor akan diteruskan tahun depan dengan peruntukan berjumlah RM2 juta, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan berbentuk peralatan atau mesin itu diwujudkan khusus untuk membantu golongan dalam kalangan penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri di negeri ini.

“Hari Penjaja Selangor dan Karnival Program Blueprint Bersempena Hari Penjaja Sedunia akan turut dilaksanakan bagi mengetengahkan penerima manfaat ini.

“Selain itu beberapa seminar keusahawanan dan strategik pemasaran digital juga dilaksanakan untuk meningkatkan serta memantapkan bidang keusahawanan dalam kalangan penjaja,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui penubuhan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) memperuntukkan sebanyak RM1 juta tahun depan bagi membantu rakyat Selangor khususnya golongan B40 yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.

“Kerajaan Negeri akan turut meneruskan program bagi mengurangkan kos sara hidup masyarakat India yang memerlukan dengan peruntukan sejumlah RM500,000.

“Ia termasuk Bantuan Subsidi Tambang Bas SJKT Negeri Selangor, Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di Malaysia, Program Sains, Sukan, Inovatif dan Kebudayaan (PSIK), Sumbangan Bantuan Persekolahan Pelajar SJKT Negeri Selangor dan program pendidikan masyarakat India,” katanya.

Selain itu, sebanyak RM4 juta disediakan bagi program Pembangunan Kampung Baru tahun depan.

“Dengan peruntukan ini, perbelanjaan juga dapat diperluaskan bagi inisiatif pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Mikro Kecil dan Sederhana di kampung baru untuk membimbing usahawan mikro, kecil dan sederhana dalam kalangan komuniti Cina dalam memperkukuhkan penjenamaan produk buatan sendiri mereka,” katanya.


Pengarang :