Pengasuh Adibah Nor Mokles, 32, melakukan aktiviti membaca bersama kanak-kanak ketika pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan daftar taska ringan beban keluarga M40, galak pendidikan awal kanak-kanak

SHAH ALAM, 28 NOV: Bantuan sekali bayar RM100 untuk mendaftar anak berusia empat tahun ke bawah di taska atau nurseri khusus untuk keluarga berpendapatan sederhana (M40) di Selangor meringankan beban golongan tersebut.

Aqilah Zahirah Zulhisham, 28, mengakui amat menantikan insentif ditawar melalui Belanjawan Selangor 2023 berikutan yuran bulanan anak sulungnya Amir Mukminin Mohammad Adli, 4, di taska swasta semakin mahal.

Aqilah Zahirah Zulhisham. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Bagus inisiatif ini sebab sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban keluarga, apatah lagi saya baru sahaja berhenti kerja dan pendapatan hanya bergantung kepada suami yang berkhidmat di sebuah pusat perubatan.

“Apatah lagi kos biaya taska mahal, jadi bantuan sebegini sememangnya membantu. Langkah ini juga menggalakkan ibu bapa untuk memberi penekanan dalam aspek pendidikan awal anak-anak,” katanya ketika ditemui Selangorkini

Sementara itu, Ridzuan Khamis, 46, menyifatkan bantuan tersebut tepat pada masanya memandangkan ramai ibu bapa di luar sana masih bergelut dengan masalah kewangan untuk menghantar anak mereka ke taska bagi mengikuti pembelajaran.

Ridzuan Khamis. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sekarang serba-serbi mahal, bukan setakat makanan sahaja tetapi yuran pengajian anak-anak. Ini memberi kesan kepada semua pihak tanpa mengira kelas pendapatan.

“Jadi bantuan RM100 cukup untuk membantu ibu bapa berpendapatan sederhana terutama yang memiliki ramai anak. Sudah tentu sebagai orang tua, kami mahukan terbaik untuk pendidikan anak-anak.

“Saya menghargai komitmen Kerajaan Negeri yang mengutamakan kebajikan rakyat dalam pelbagai aspek. Saya harap bantuan seperti ini terus dikekalkan,” katanya yang berkhidmat sebagai pegawai kastam.

Bagi Jurutera Amar Aripin Khan, 39, bantuan RM100 besar nilainya kepada ibu bapa yang mempunyai anak berusia bawah empat tahun untuk mendaftar di taska tahun depan.

Amar Aripin Khan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah, ini satu pendekatan yang amat bagus dan harus dipuji. Saya harap inisiatif ini dihebahkan secara meluas kerana mungkin ada yang tidak tahu sama ada ia perlu dimohon sendiri atau sebaliknya,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 dibentang Dato’ Menteri Besar memperuntuk RM500,000 bagi melaksanakan bantuan sekali bayar RM100 kepada ibu bapa yang mempunyai anak berusia bawah empat tahun untuk kemasukan ke taska atau nurseri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif pendaftaran tahunan untuk golongan M40 diperkenalkan selepas menyedari bebanan ditanggung golongan itu dalam pascapandemik lalu.


Pengarang :