Kanak-kanak kelainan upaya mengikuti sesi pembelajaran di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) Seksyen 7, Shah Alam ketika tinjauan pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Bantuan khas anak istimewa diperluas, tawar rawatan hospital pakar

SHAH ALAM, 25 NOV: Inisiatif kebajikan Anak Istimewa Selangor (AnIS) diperluaskan kepada manfaat rawatan di hospital pakar mulai tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan khas AnIS memperuntuk dana sejumlah RM1 juta untuk membantu ibu bapa mempunyai anak OKU mendapat rawatan kecemasan di hospital.

“Bantuan anak istimewa Selangor diteruskan untuk pembelian alatan sokongan, ubat-ubatan dan bekalan nutrisi tambahan bagi membela kebajikan anak syurga ini,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2023.

Beliau berkata Kad Iltizam AnIS (Kad AnIS) juga diperkenal untuk menyelaraskan semua jenis bantuan dan inisiatif yang boleh ditawar kepada golongan terbabit.

“Faedah ditawar kad itu meliputi subsidi yuran pendidikan di pusat intervensi awal (EIP), geran pembelian barangan berkeperluan khas dan dan pembelian barangan asas.

“Pemegang kad juga mendapat bantuan rawatan atau saringan kesihatan, baucar beli-belah dan khairat kematian,” katanya.

Amirudin berkata anak syarikat khusus bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang dinamakan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YaNIS) akan ditubuhkan dengan peruntukan RM4 juta untuk memberdaya anak istimewa.


Pengarang :