Pengasuh Adibah Nor Mokles, 32, melakukan aktiviti membaca bersama kanak-kanak ketika pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Bantuan sekali bayar RM100 daftar anak ke taska, nurseri

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri memberi bantuan sekali bayar RM100 kepada ibu bapa yang memiliki anak berusia empat tahun ke bawah untuk kemasukan ke taska atau nurseri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif pendaftaran tahunan untuk golongan berpendapatan sederhana (M40) membabitkan dana keseluruhan RM500,000.

“Menyedari bebanan yang juga ditanggung kaum ibu daripada golongan M40 dalam pascapandemik lalu, Kerajaan Negeri akan menyediakan insentif pendaftaran tahunan anak-anak ke taska atau nurseri.

“Bantuan sekali bayar sebanyak RM100 (diberikan) bagi setiap anak berusia empat tahun ke bawah dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM500,000,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut bersetuju meneruskan program Asuh Pintar, yang menyediakan inisiatif jagaan kanak-kanak di taska melalui bantuan yuran bulanan RM100 sebulan.

Menurut Amirudin, manfaat itu dikhaskan untuk anak empat tahun ke bawah dari keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan peruntukan keseluruhan RM600,000.

Sementara itu, Amirudin menetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menambah kemudahan asas mesra orang kelainan upaya (OKU) menggunakan dana keseluruhan hasil mereka.

“Kemudahan ini boleh disediakan di bangunan PBT sendiri untuk memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan kepada golongan OKU dan di kawasan umum pentadbiran PBT,” katanya.


Pengarang :