Bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di KM179.2 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Utara di Jasin pada 28 November 2022. Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka
AGENDAJENAYAH

Bas ekspres rempuh treler, 16 penumpang cedera

JASIN, 28 NOV: Seramai 16 penumpang cedera ringan apabila bas ekspres dinaiki mereka merempuh sebuah treler di KM179.2 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Utara di sini pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari Pegawai Bomba Kanan II Azman Md Dawam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan 3.57 pagi dan 17 pegawai serta anggota daripada BBP Jasin Bestari dan Tangkak digegaskan ke lokasi.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati sebuah bas ekspres membawa 27 penumpang telah melanggar sebuah treler membawa muatan barangan kitar semula.

“Kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa dan semua 16 penumpang itu telah diberi rawatan awal,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin DSP Mispani Hamdan berkata kesemua penumpang terlibat adalah warga Singapura dan bas tersebut dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata bas ekspres dipandu lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang treler berkenaan di lorong paling kiri.

Katanya kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA


Pengarang :