Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Mohd Sany Hamzan beramah mesra dengan golongan muda sempena program turun padang di sekitar Pekan Langat, Hulu Langat pada 8 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekalan telur kurang, calon HARAPAN saran penduduk ke jelajah jualan murah

HULU LANGAT, 10 NOV: Bekalan telur ayam tidak cukup antara keluhan penduduk Hulu Langat sepanjang empat hari berkempen, kata calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Mohd Sany Hamzan.

Justeru, beliau menyaran penduduk hadir ke program Jelajah Ehsan Rakyat anjuran Kerajaan Negeri untuk mendapatkan barangan asas berkenaan dan dijamin lebih murah daripada harga pasaran.

“Saya ke Bandar Rinching, Bandar Tasik Kesuma, Pasar Suntex rata-rata pengundi ditemui memang kata bekalan tak cukup, isu makanan asas pun tak boleh selesai.

“Tengok Selangor, bukan sekadar cakap kosong, kita terus buat Jelajah Ehsan Rakyat, bekalan ada. Jual pula pada harga murah. Bukan setakat telur tetapi ayam, daging, minyak dan beras pun ada.

“Kalau rakyat tak cukup barang, jangan lupa ke jelajah jualan murah anjuran Kerajaan Selangor,” katanya selepas berkempen di Taman Cempaka Lui di sini.

Mohd Sany juga secara sinis menyelar kerajaan yang meletakkan harga siling ayam pada kadar tinggi sehingga mencecah RM11.40 sekilogram (kg).

“Dulu waktu kita (HARAPAN) memerintah harga ayam RM5.99 sekg, masa itu dikatakan mahal? Yalah sekarang (RM11.40 sekg) lagi ‘murah’.

“Itu baharu satu contoh. Tak payah jauh-jauh, bagaimana kerajaan sekarang tidak relevan dengan harga makanan untuk rakyat. Satu sahaja dah cukup,” katanya.


Pengarang :